Thursday, January 7, 2010

KDNK Malaysia dijangka berkembang 7 peratus

KOTA KINABALU: Ekonomi Malaysia mungkin berkembang sebanyak tujuh peratus pada 2011 berdasarkan kepada keadaan ekonomi dunia yang kian pulih, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Husni berkata, beliau yakin sasaran pertumbuhan lima peratus untuk tahun ini boleh dicapai.

Ahmad Husni berkata, walaupun Bank Dunia mensasarkan pertumbuhan 4.7 peratus untuk Malaysia tahun ini, kerajaan menetapkan unjuran yang tinggi iaitu lima peratus.


"Untuk mencapai sasaran ini (lima peratus), kerajaan sudah menjalankan kajian dan satu daripada inisiatifnya ialah meningkatkan permintaan tempatan bagi merancakkan ekonomi," katanya selepas merasmikan seminar mengenai Perniagaan Jihad di Universiti Malaysia Sabah di Likas, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan.

"Projek di dalam perancangan akan dibawa ke hadapan untuk pelaksanaan. Kementerian juga akan cuba dan mempercepatkan proses tender bagi projek yang dikenal pasti.

"Kita percaya dengan meningkatnya tahap kecekapan, kita akan mencapai sasaran berkenaan," katanya.

Ahmad Husni berkata, kerajaan akan terus mengutamakan sektor tertentu, terutamanya industri pelancongan yang jelas tidak terjejas oleh kelembapan ekonomi baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, pelancongan kesihatan akan memainkan peranan penting bagi mencapai keputusan yang diharapkan itu.

Beliau berkata, ia adalah seiring dengan konsep 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan matlamatnya untuk menukarkan negara dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi pengilangan atau berprestasi tinggi.

"Malah, konsep 1Malaysia bukan saja mengenai menyatukan bangsa negara...ia juga mengenai bagaimana kita mahu menempatkan Malaysia sebagai negara penting di peta dunia termasuk dalam sfera ekonomi," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Husni menggesa Bumiputera Islam menceburi perniagaan untuk meningkatkan standard kehidupan mereka.

Beliau berkata, seminar itu tepat dan sesuai pada masanya kerana ia menggariskan keperluan untuk bergerak ke hadapan dalam perniagaan bagi menikmati kejayaan dalam kehidupan. - Bernama

No comments:

Post a Comment